Masalah yang ditimbulkan Loteri

Terdapat masalah yang sering dikaitkan dengan perjudian loteri atau nombor ekor. Pemenang biasanya tidak diumumkan secara terbuka bagi mengelak risiko keselamatan seperti penculikan. Sebagai mana aktiviti perjudian yang lain, pemenang loteri biasanya akan ketagih bermain nombor ekor walaupun sudah menang kononnya untuk meraih wang hadiah yang lebih banyak sehingga ada kalanya sanggup berhutang dengan Ah Long serta menyebabkan rumah tangga menjadi porak-peranda.

Selain itu, bermain loteri dan judi nombor ekor adalah haram di sisi agama Islam sebagaimana bentuk perjudian lain,[1] dan peringatan tersebut juga jelas tertera pada tiket loteri. Oleh itu, wang hasil daripada memenangi loteri juga adalah haram serta tidak boleh digunakan untuk disedekahkan atau didermakan kepada orang lain. Namun demikian, masih ramai di kalangan orang Melayu beragama Islam yang mengunjungi premis nombor ekor. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri Kelantan yang diperintah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bertindak mengharamkan segala aktiviti loteri serta menutup premis jualan loteri.[2]

Ada juga di antara kaki judi nombor ekor yang sanggup melakukan perkara syirik seperti memuja kubur kononnya demi mendapatkan nombor ekor yang dikatakan akan mengena. Perkara tersebut jelas syirik serta bercanggah dengan ajaran Islam.